PENGENALAN
Menyentuh soal pendidikan dalam zaman globalisasi ini, ia merupakan suatu keperluan yang wajib dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira darjat, warna kulit mahupun keadaan mental seseorang individu. Dalam konteks pendidikan inklusif, individu kurang upaya secara fizikal ataupun mental ditakrifkan sebagai berkeperluan khas. Mereka juga perlu diberikan peluang yang sama dengan individu normal yang lain supaya mereka tidak tersisih daripada arus pembelajaran nasional kerana ada dalam kalangan mereka mempunyai kecerdasan kognitif yang setanding dengan individu yang sempurna malah mereka mampu melebihi pencapaian pelajar yang normal ( Lokman, 2009). Pendidikan insklusif menyediakan peluang bagi murid-murid berkeperluan khas supaya dapat belajar di dalam kelas normal bersama rakan sebaya.
1.1 KATEGORI INDIVIDU BERKEPERLUAN KHAS
Terdapat pelbagai kategori murid berkeperluan khas (KBK) dalam setting inklusif. Namun begitu terdapat 4 kategori KBK yang boleh didapati di merata sekolah dalam aliran perdana. Mereka ialah dalam kategori masalah :
i. fizikal (cacat anggota)
ii. emosi dan tingkah laku (autisma dan ADHD)
iii. pembelajaran khusus Disleksia (dyslexia)
iv. penguasaan kemahiran 3M
Pada umumnya perkembangan fizikal, mereka adalah setara dengan perkembangan rakan sebaya yang normal. Dengan demikian, ramai guru dan ibu bapa tidak menyedari masalah sebenar kanak-kanak ini. Akibatnya mereka dianggap malas atau degil atau bermasalah, malah ada yang dianggap biadab apabila mereka tidak dapat memenuhi kehendak norma bilik darjah/pembelajaran atau tatasusila masyarakat setempat/sekolah (Supiah Saad, 2010).
2.0 CARA MENGENALPASTI MURID BERKEPERLUAN KHAS
Sebelum melaksanakan sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran, guru perlu mengenalpasti murid-murid di dalam kelas yang dikategorikansebagai individu berkeperluan khas. Cara mengenalpasti individu berkeperluan khas ini lebih menumpukan tentang cara membuat penilaian dan mendiagnosis murid tersebut. Terdapat pelbagai cara untuk mengenalpasti murid-murid pendidikan khas. Antaranya ialah melalui pemerhatian, penggunaan borang senarai semak, temubual serta merujuk kepada rekod profil perkembangan murid.
2.1 PEMERHATIAN
Pemerhatian merupakan salah satu kaedah yang selalu diguna oleh guru untuk mengesan masalah pembelajaran murid.Ianya boleh dilaksanakan oleh guru semasa di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah. Pemerhatian guru biasanya tertumpu kepada tingkah laku murid, cara murid berinteraksi dan bersosial, serta kebolehan murid dalam melaksanakan tugas yang diberi oleh guru. Contohnya, kebolehan membaca dengan lancar petikan teks di dalam buku atau kebolehan memahami dan mengikuti arahan yang diberikan oleh guru. Walaubagaimanapun, hasil pemerhatian tanpa rujukan kriteria yang tetap dan pemerhatian tanpa rekod akan menyukarkan guru untuk mengelaskan masalah pembelajaran murid secara khusus dan sistematik.
2.2 BORANG SENARAI SEMAK
Penggunaan borang senarai semak untuk mengesan masalah pembelajaran murid merupakan kaedah paling efektif untuk mengenalpasti murid-murid berkeperluan khas.Borang senarai semak ini mengandungi kriteria tertentu yang telah ditetapkan untuk mendiagnosis masalah pembelajaran murid.Data di dalam borang senarai semak ini boleh dilengkapkan dengan berdasarkan hasil pemerhatian guru yang berlandaskan rujukan kriteria-kriteria tertentu terhadap tahap kompetensi murid dan tingkah laku murid di dalam bilik darjah.
Penggunaan borang senarai semak ini membantu guru lebih sistematik dalam mengesan murid-murid berkeperluan khas.Seterusnya, guru dapat mengelaskan murid-murid mengikut kategori masalah pembelajaran yang mereka hadapi.Hasil data yang dikumpul juga memudahkan guru untuk mengambil tindakan susulan bagi mengatasi masalah pembelajaran murid tersebut.
2.3 TEMUBUAL
Temubual ini boleh dilaksanakan di antara guru dengan murid yang dikenalpasti mempunyai simptom-simptom bermasalah pembelajaran atau berkeperluan khas.Selain itu, guru juga boleh mengadakan temubual dengan ibubapa atau penjaga murid berkenaan.
Temubual guru dengan murid bertujuan untuk mengenalpasti masalah pembelajaran atau faktor-faktor yang menjejaskan prestasi akademik murid tersebut. Guru tidak boleh mengelasfikasikan seseorang murid sebagai bermasalah pendengaran hanya kerana murid tidak menjawab soalan guru di dalam kelas. Ini disebabkan ada sesetengah murid tidak aktif untuk menjawab soalan guru di dalam kelas kerana kurang keyakinan untuk menjawab atau murid tidak berminat terhadap pengajaran guru.Ianya bukan disebabkan mereka bermasalah pendengaran. Temubual ini akan dapat membantu guru lebih memahami masalah murid yang sebenar. Guru kaunseling merupakan orang yang paling sesuai untuk menjalankan temubual bersama murid bermasalah pembelajaran kerana guru kaunseling mempunyai kemahiran dan pendekatan tertentu untuk mencungkil masalah murid tersebut.
Temubual di antara guru dengan ibubapa atau penjaga murid pula, bertujuan untuk mengkaji latar belakang murid-murid, serta mendapatkan maklum balas dari ibubapa tentang tingkah laku murid-murid atau tahap kesihatan murid yang boleh menjejaskan prestasi pembelajaran murid.Ini disebabkan ibubapa merupakan orang yang paling dekat dengan murid-murid, lebih memahami tingkah laku murid-murid, serta mengetahui tahap kesihatan murid yang sebenar.
2.4 REKOD PROFIL PERKEMBANGAN MURID
Guru juga boleh mengenalpasti murid-murid berkeperluan khas ini dengan merujuk kepada rekod profil perkembangan murid.Rekod profil perkembangan murid ini biasanya mengandungi catatan prestasi akademik murid sama ada meningkat, merosot atau statik, iaitu tidak ada perubahan. Tempoh masa perkembangan murid yang dijadikan rujukan sekurang-kurangnya 3 tahun.Rekod profil perkembangan murid ini juga turut mengandungi catatan tahap kesihatan murid yang boleh dijadikan rujukan untuk guru mengenalpasti masalah murid berkeperluan khas.Contohnya, murid yang kurang penglihatan atau bermasalah pendengaran.
Berdasarkan rekod perkembangan profil murid-murid ini, guru boleh mengambil tindakan susulan seperti memberi aktiviti pemulihan atau pengayaan.Selain itu, guru boleh membincangkan masalah murid ini dengan ibubapa atau pihak pengurusan sekolah untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah murid tersebut.
Disamping itu, murid yang dikenalpasti mempunyai rekod kesihatan yang kurang baik dan menunjukkan ciri-ciri murid berkeperluan khas perlu dirujukkan kepada pakar perubatan untuk tindakan lanjut.Seterusnya, murid-murid berkenaan perlu ditempatkan di sekolah pendidikan khas untuk memudahkan murid berkenaan mendapat pendidikan dan kemudahan infrastruktur yang lebih sesuai untuk diri mereka.
3.0 KAEDAH/TEKNIK PEMBELAJARAN DAN PENGAJARAN YANG SESUAI DENGAN MURID BERKEPERLUAN KHAS
Proses pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan khas memerlukan guru menggunakan pelbagai pendekatan yang sesuai dengan perkembangan diri, kebolehan, keupayaan, bakat, minat serta latar belakang murid. Memandangkan murid mempunyai keupayaan yang berbeza, guru harus menyediakan aktiviti yang sesuai. Usaha ini dapat memastkan murid terlibat aktif, juga membantu proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih berkesan, bermakna dan menggembirakan.
Proses pengajaran dan pembelajaran perlu dirancang serta dikendalikan dengan teliti dan sistematik bagi menjamin setiap murid mendapat peluang yang sama, sama ada dilaksanakan secara kelas. Kumpulan mahupun secara individu. Berpandukan matlamat dan objektif dalam kurikulum ini, antara pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang boleh digunakan adalah:
3.1 PENDEKATAN ANALISIS TUGASAN
Pendekatan Analisis Tugasan melibatkan proses pembahagian kemahiran kepada beberapa komponen atau langkah mudah yang dapat dikuasai dan dipelajari oleh seseorang murid. Kaedah analisis tugasan membantu guru menyusun atur kemahiran yang hendak diajar, memberi latihan yang konsisten dan nilai tahap pencapaian murid. Penyediaan analisis tugasan dapat dilaksanakan dengan langkah-langkah berikut:
Ó Memastikan kemahiran yang sesuai diajar pada murid mengikut tahap keupayaan
Ó Huraikan secara ringkas kemahiran yang terpilih
Ó Kemahiran yang dipilih dipecahkan kepada langkah-langkah kecil
Ó Buat penyesuaian langkah-langkah pembelajaran mengikut kelemahan dan kebolehan murid
Ó Guru menjalankan analisis tugasan
Ó Guru membuat pemerhatian dan penilaian apabila murid telah menguasai kemahiaran yang diajar
Ó Membuat penambahan dan perubahan di mana perlu sehingga murid dapat menguasai kemahiran yang hendak diajar
3.2 PENDEKATAN BELAJAR MELALUI BERMAIN
Pendekatan Belajar Melalui Bermain ditekankan dalam proses pengajaran dan pembelajaran pendidikan khas kerana bermain merupakan keperluan murid. Melalui aktiviti ini mereka melakukan penerokaan, penemuan dan pembinaan berdasarkan pengalaman dengan rasa gembira dan seronok. Selain menyeronokkan, pendekatan ini boleh meningkatkan keupayaan kognitif dan memenuhi rasa ingin tahu, penguasaan psikomotor, kemahiran berfikir serta mengendalikan emosi.
Ciri-ciri pendekatan bermain sambil belajar yang ditekankan ialah:
Ó Aktiviti yang menyeronokkan
Ó Penerokaan dan interaksi dengan persekitaran
Ó Permainan bebas dan terancang
Ó Keanjalan masa
Ó Percubaan idea sendiri
Ó Peluang untuk memberikan tumpuan dan perhatian
3.3 PENDEKATAN PENGAJARAN BERTEMA
Pendekatan Pengajaran Bertema digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran murid pendidikan khas. Pemilihan topik atau tema mestilah yang bersesuaian dengan persekitaran murid.
Pendekatan Pengajaran Bertema melibatkan perkara-perkara berikut:
Ó Penggunaan satu tajuk umum merentasi bidang pembelajaran
Ó Pemilihan tajuk berasaskan kesesuaian tahap murid, situasi tertentu atau peristiwa semasa
Ó Saling berkaitan dengan pengalaman sedia ada dan pengalaman baru diperoleh secara tersusun dan sistematik
Ó Peluasan dan pengukuhan pengetahuan dan kemahiran
Ó Pemeringkatan daripada yang mudah kepada sukar dan umum kepada yang lebih khusus
Pemilihan tema pula perlu mengambil kira perkara-perkara di bawah:
Ó Kesesuaian dengan kehidupan murid
Ó Peluang untuk mengaplikasi kemahiran kepada murid-murid seperti kemahiran asas mendengar, membaca, menulus, mengira, penggunaan komputer dan lain-lain.
Ó Kemahiran yang diperoleh daripada tema yang diajar dapat membantu murid mendapat kemahiran penyelesaian masalah
Ó Sumber yang mudah didapati
Ó Mengikut musim atau peristiwa untuk memberi kesedaran dan pengukuhan serta meningkatkan pengetahuan murid
Perkara-perkara berikut perlu dilaksanakan dalam Pendekatan Pengajaran Bertema:
Ó Sumbangsara berdasarkan topik oleh murid
Ó Kenal pasti subtopik dan pilih aktiviti yang sesuai untuk membantu murid mempelajari isi kandungan dan mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari dalam konteks yang bermakna
Ó Mencipta peta minda untuk tema
Ó Merancang dan menggalakkan kemahiran berfikir
Ó Iklim dan persekitaran bilik darjah mempunyai suasana yang kondusif dan berkaitan dengan tema.
3.4 PENDEKATAN PEMBELAJARAN PENGALAMIAN
Pendekatan Pembelajaran Pengalamian adalah berdasarkan kesediaan dan keupayaan individu. Pendekatan ini meningkatkan arah kendiri individu di mana murid diberi peluang menilai keupayaan diri sendiri.
Guru yang melaksanakan kaedah ini seharusnya menjalankan peranan berikut:
Ó Menentukan suasana yang positif untuk proses pembelajaran
Ó Menjelaskan peranan murid dalam tugasan
Ó Memastikan sumber untuk proses pembelajaran ada dan mudah diperoleh
Ó Menyusun sumber untuk proses pembelajaran
Ó Seimbangkan komponen intelek dan emosi dalam pembelajaran
Ó Berkongsi perasaan dan pemikiran dengan murid tanpa menguasai dan mengongkong mereka
Prinsip-prinsip Pendekatan Pembelajaran Pengalamian ialah:
Ó Guru menentukan matlamat dan objektif untuk individu serta kumpulan
Ó Aktiviti pembelajaran yang dibentuk adalah untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang sesuai dengan kesediaan murid
Ó Guru perlu menjelaskan tentang tugas atau aktiviti yang akan dijalankan dengan murid dan berbincang mengenai apa yang diharapkan daripada murid
Ó Murid perlu ditempatkan dalam situasi atau suasana yang memerlukan kemahiran baru atau sokongan dan peneguhan dengan pengalaman lalu
Ó Pembelajaran berlaku melalui pengalaman pembelajaran dan berikan maklumat tentang apa yang dibuat atau dipelajari
Ó Berikan bantuan, latihan dan peneguhan dengan mengaitkan pembelajaran yang baru dalam kehidupan sebenar murid seperti sekolah, keluarga dan komuniti
3.5 PENDEKATAN PEMBELAJARAN MASTERI
Pendekatan Pembelajaran Masteri merupakan suatu pendekatan pengajaran dan pembelajaran untuk memastikan semua murid meguasai hasil pembelajaran yang dihasratkan dalam suatu unit pembelajaran sebelum berpindah ke unit pembelajaran seterusnya. Pendekatan ini memerlukan masa yang panjang untuk menghasilkan pendidikan berkualiti.
Keperluan-keperluan pelaksanaan Pendekatan pembelajaran Masteri ialah:
Guru perlu menyedari bahawa:
l
murid mempunyai kebolehan dan keperluan yang berbeza antara satu sama lain

l
murid memerlukan pendekatan pendidikan yang sesuai dan berkesan

l
murid perlu menguasai pengetahuan, kemahiran dan sikap yang diajarkan

Ciri-ciri Pembelajaran Masteri:
l hasil pembelajaran perlu ditentukan
l hasil pembelajaran disusun mengikut hierarki atau unit pembelajaran
l aktiviti pengajaran dan pembelajaran hendaklah bermakan, berkesan, menarik dan menggembirakan
l bahan pengajaran dan pembelajaran mesti sesuai dengan tahap penguasaan murid dan berkaitan dengan kemahiran yang dipelajari
l murid mesti menguasai 80% aras masteri sebelum berpindah ke unit pembelajaran yang baru
l aktiviti pemulihan perlu dilaksanakan bagi murid yang belum menguasai aras masteri
l aktiviti pengayaan perlu dilaksanakan untuk murid yang telah mencapai aras masteri
3.6 PENDEKATAN KOLABORASI
a) LATIHAN KEMAHIRAN KERJA
Latihan Kemahiran Kerja perlu didedahkan kepada murid pendidikan khas bermasalah pembelajaran. Matlamat utama latihan ini adalah untuk memberi kemahiran kendiri, komunikasi, sosialisasi dan kemahiran asas berkaitan pekerjaan dalam kehidupan. Latihan Kemahiran Kerja boleh dibahagikan kepada tiga bentuk iaitu:
Ø Latihan dalaman – berbentuk kerja projek.
Melaksanakan aktiviti berbentuk projek yang telah dirancang dengan baik.
Contoh:
l
perkebunan dan penjualan hasil tanaman

l
aktiviti-aktiviti perdagangan seperti membuat aiskrim, biskut, kek dan lain-lain.

l
memelihara ikan, burung dan lain-lain

Ø Latihan kerja yang melibatkan luar atau kerja luar
Mendapat barangan dari luar (kilang) untuk pembungkusan (assemble) dalam waktu persekolahan. Membuat barangan yang tertentu, contohnya hasil kraftangan murid seperti batik, bunga telur dan lain-lain untuk dijual.
Ø Latihan kerja sebenar
Mewujudkan situasi sebenar untuk sesuatu latihan kerja seperti mencuci kereta, mendobi, dan lain-lain yang dibuat di sekolah. Murid-murid dihantar bekerja di tempat sebenar dan pemantauan dibuat oleh pegawai kerja.
b) BENGKEL TERLINDUNG
Fungsi bengkel terlindung adalah untuk memberi pengalaman, latihan, penilaian dan pekerjaan kepada individu yang berkeperluan khas. Terdapat bengkel terlindung yang beroperasi sendiri (di bawah pengurusan sekolah) atau yang mempunyai perjanjian dengan agensi yang memberi perkhidmatan berkaitan dengan kerjaya. Bengkel terlindung tidak mementingkan hasil pengeluaran tetapi lebih mengutamakan pengalaman bekerja individu, menanam minat, memenuhi keperluan sosial dan memberi kemahiran inter-personal.
Di bengkel terlindung perlu ada penilaian kemahiran vokasional, latihan bekerja secara umum atau khusus, memberi peluang latihan kepada individu yang berkeperluan khas, peluang untuk berekreasi, perkhidmatan untuk mendapat pekerjaan pada masa hadapan, bekerja dalam jangkamasa panjang sebelum mendapat pekerjaan lain
c) PELBAGAI KAEDAH TERAPI
Ó Terapi Pertuturan
Terapi pertuturan bertujuan untuk membantu murid yang mengalami kesukaran dalam menyebut perkataan dan berkomunikasi, membantu murid menghasilkan bunyi-bunyi bahasa dan melatih murid-murid yang menghadapi masalah artikulasi melalui latihan asas tertentu
Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti latihan lisan, meniup belon, meniup kertas di atas air, mengetap bibir dan sebagainya. Terapi pertuturan dijalankan oleh pakar pertuturan atau individu yang terlatih.
Ó Terapi Fizikal ( Fisioterapi)
Terapi fizikal memberi pengaruh yang besar terhadap kehidupan murid pendidikan khas. Ia bertujuan untuk membantu murid-murid yang mempunyai masalah kawalan motor. Terapi fizikal yang dilaksanakan akan dapat meningkatkan lagi perkembangan kemahiran motor kasar, motor halus dan perkembangan kercerdasan fizikal mengikut keutamaan.
Ó Terapi Carakerja
Terapi carakerja merupakan aktiviti yang menjurus ke arah membantu individu bermasalah fizikaldan intelek bagi mengatasi ketidakupayaan semaksima yang mungkin. Aktiviti berfokus kepada kepelbagaian pergerakan dan kebolehan otot-otot untuk membantu murid mencapai kejayaan dalam bidang vokasional atau kerjaya.
Ó Terapi Muzik
Terapi muzik bertujuan mententerakan murid supaya bersedia untuk belajar. Guru menggunakan muzik untuk merangsang minda dan menarik perhatian murid. Terapi muzik digunakan untuk mengawal emosi dan dijalankan oleh seorang terapis. Aktiviti yang dijalankan seperti pergerakan bebas mengikut irama muzik, memainkan alatan muzik mengikut rentak yang diperdengarkan serta menghayati irama. Murid melakukan gerakan menggunakan alatan untk menghasilkan bunyi. Bunyi-bunyi ini apabila digabungkan akan melahirkan satu irama muzik yang tersusun.
3.7 AKTIVITI LUAR BILIK DARJAH
Aktiviti ini dijalankan di luar waktu pembelajaran, bertujuan untuk memberi peluang untuk murid memperoleh pengalaman sebenar seperti rekreasi, bersosialisasi dan berkomunikasi, aktiviti yang menggembirakan, penerokaan dan interaksi dengan persekitaran serta lain-lain aktiviti bebas dan terancang.
Antara aktiviti yang dijalankan di luar bilik darjah adalah aktiviti rekreasi yang melibatkan, lawatan, motivasi, perkhemahan, perkelahan, aktiviti jual beli dan lawatan sosial.
4.0 KEPERLUAN FIZIKAL ATAU SOKONGAN INFRASTRUKTUR YANG MESTI DISEDIAKAN UNTUK MURID BERKEPERLUAN KHAS
Kemudahan infrastruktur khas amat perlu untuk program pendidikan khas. Satu ruangan kelas yang khusus perlu untuk keselesaan pelajar dan kemudahan bagi guru untuk mengurus perjalanan pengajaran dan pembelajaran. Ruangan kelas ini pula perlu dibahagi kepada kelas-kelas kecil dan bilik khas untuk aktiviti sampingan lain seperti bilik belajar mengendali perkakas asas, bilik komputer dan bilik pelbagai.
Pelajar khas juga banyak menggunakan bahan yang membantu pembelajaran mereka. Bahan seperti kad kerja, kad imbasan, bahan maujud, gambar-gambar, carta dan berbagai jenis lagi bahan yang digunakan. Selain itu, alat audio visual juga perlu untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Bahan yang disediakan hendaklah praktikal, mudah alih dan senang digunakan.
Pelajar khas juga banyak menggunakan bahan yang membantu pembelajaran mereka. Bahan seperti kad kerja, kad imbasan, bahan maujud, gambar-gambar, carta dan berbagai jenis lagi bahan yang digunakan. Selain itu, alat audio visual juga perlu untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Bahan yang disediakan hendaklah praktikal, mudah alih dan senang digunakan.
Walaubagaimanapun, murid-murid yang dikenalpasti bermasalah kesihatan serius seperti buta , pekak atau bisu perlu ditempatkan di sekolah pendidikan khas. Manakala murid-murid berkeperluan khas lain yang didapati masih boleh mengikuti sukatan pembelajaran murid biasa perlu ditempatkan di sekolah pendidikan inklusif.
4.1 MASALAH PENDENGARAN
Murid-murid yang dikenalpasti sebagai pekak perlu ditempatkan di sekolah pendidikan khas. Murid-murid tersebut akan diajar oleh guru-guru terlatih Pendidikan Khas menggunakan sukatan pembelajaran yang sesuai untuk mereka. Murid-murid yang dikategorikan sebagai pekak ini akan belajar menggunakan kemahiran bahasa isyarat bersama-sama rakan-rakan mereka yang mempunyai masalah sama.
Murid-murid separa pekak pula akan ditempatkan di sekolah pendidikan inklusif, iaitu belajar bersama murid-murid biasa yang lain. Walaubagaimanapun, murid-murid tersebut akan menggunakan alat bantuan mendengar, iaitu implan koklea untuk memudahkan mereka mendengar dengar lebih jelas. Golongan murid ini perlu ditempatkan di baris hadapan kelas untuk memudahkan mereka melihat pergerakan bahasa tubuh guru, mimik muka guru dan gerakan tangan guru.Bagi meningkatkan pemahaman murid bermasalah pendengaran ini, pertuturan lisan guru perlu disertakan dengan ilustrasi bergambar atau visual.
Bagi mewujudkan kelas yang kondusif untuk murid-murid bermasalah pendengaran ini, guru perlu memastikan persekitaran pembelajaran tidak diganggu oleh bunyi bising atau gangguan lain. Ini disebabkan bunyi bising tersebut boleh menghilangkan tumpuan mereka terhadap apa yang cuba diperkatakan oleh guru.
4.2 MASALAH PENGLIHATAN
Murid-murid yang buta ini perlu ditempatkan di sekolah pendidikan khas supaya mereka mendapat keperluan fizikal dan infrastruktur yang sesuai semasa belajar.Murid tersebut memerlukan guru dan pakar pendidik yang terlatih untuk mengajar mereka.
Selain itu, murid-murid buta juga memerlukan bahan bacaan dalam cetakan Braille, serta mesin taip Braille dan kertas khas untuk menulis Braille. Objek-objek maujud yang boleh disentuh, dirasa, dihidu dan diteroka oleh murid-murid bermasalah penglihatan ini juga digunakan untuk meningkatkan pemahaman murid-murid tersebut.Contohnya, guru menggunakan bola untuk mengajar bentuk bulat dan kotak sebagai bentuk segi empat. Deria sentuhan akan membantu murid ini membezakan kedua-dua bentuk tersebut walaupun tidak dapat melihat. Murid yang buta ini juga memerlukan tongkat untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain dengan sendiri.
Manakala murid-murid yang dikelaskan sebagai separuh buta atau rabun pula, menggunakan cermin mata sebagai alat bantuan untuk melihat dengan lebih jelas.Oleh sebab kurang penglihatan, murid-murid tersebut mesti ditempatkan di bahagian hadapan kelas, berhampiran dengan papan tulis.Tulisan guru pada papan tulis mestilah bersaiz besar untuk memudahkan murid tersebut melihat dengan lebih jelas.Bahan-bahan bacaan murid tersebut juga mestilah di dalam saiz tulisan yang besar dan bentuk tulisan yang jelas.
Pencahayaan yang sesuai juga amat diperlukan oleh murid-murid tersebut untuk membantu mereka melihat dengan lebih jelas.Penggunaan langsir di dalam bilik darjah juga perlu untuk mengelakkan mereka daripada cahaya silau yang menjejaskan penglihatan mereka semasa belajar.
Selain itu, murid-murid bermasalah penglihatan juga memerlukan bahan bantu belajar dalam bentuk rakaman audio seperti pita rakaman atau cakera padat. Kemudahan pengesan suara yang dicipta di dalam kebanyakan alat teknologi sekarang turut membantu murid-murid tersebut di dalam belajar. Contohnya, kemudahan pengesan suara yang diaplikasi di dalam internet untuk memberi peluang kepada murid tersebut melayari internet sama seperti murid biasa lain.
4.3 MASALAH PERTUTURAN
Murid-murid bermasalah pertuturan yang serius perlu ditempatkan di sekolah pendidikan khas yang terdiri daripada golongan murid bermasalah pertuturan yang sama dengan mereka. Ini bertujuan untuk mengelakkan murid-murid kurang keyakinan berkomunikasi jika ditempatkan bersama murid-murid normal di sekolah biasa.Selain itu, sekolah pendidikan khas menyediakan kurikulum pembelajaran yang lebih sesuai dengan tahap pembelajaran mereka.
Juru bahasa isyarat atau guru Pendidikan Khas juga diperlukan untuk mengajar mereka, khususnya penggunaan kemahiran berbahasa isyarat untuk berkomunikasi.
Selain itu, murid-murid bermasalah pertuturan yang berpotensi untuk meningkatkan tahap pertuturan mereka, memerlukan pakar pemulihan pertuturan untuk memberi terapi kepada mereka sehingga murid tersebut berjaya bertutur dengan betul dengan jelas.
PENUTUP
Kesedaran terhadap kepentingan pendidikan inklusif amat besar kesannya terhadap kualiti pendidikan negara kita. Pembaharuan perlu dibuat bagi memastikan kejayaan pendidikan inklusif dan di akui untuk mengubah sikap itu untuk menerima pendidikan inklusif bukannya mudah untuk memenuhi keperluan kanak-kanak berpendidikan khas. Untuk kelas inklusif yang berjaya, guru biasa dan guru Pendidikan Khas perlu memberi penekanan terhadap komunikasi semua guru yang terlibat dalam program ini mesti bersikap jujur dan terbuka dalam menangani segala masalah dan peranan yang timbul. Guru-guru yang terlibat dalam kelas inklusif hendaklah bersedia untuk menghadapi sebarang rintangan dan halangan yang mendatang. Mereka juga perlu belajar untuk berkompromi dan juga membuat sesuatu yang berlainan sama sekali daripada yang dirancangkan. Disamping itu juga guru kelas biasa dan guru kelas Pendidikan Khas perlu bekerjasama dan menerima kanak-kanak berpendidikan khas yang mempunyai berbagai-bagai perbezaan individu. Pelaksanaan Pendidikan Inklusif memerlukan kerjasama semua pihak agar keberkesanan program yang dilaksanakan dapat dihasilkan. Pendidikan Inklusif memberi peluang ke arah pemantapan sistem pendidikan untuk golongan bekeperluan khas di Negara kita sekaligus mengangkat martabat pendidikan Malaysia dipersada dunia.
RUJUKAN
Ainscow, M (1977) : Towards inclusive schooling British Jornal of Special
Education Vol. 24. No. 1 (pp. 3-6)
Culatta, R.A. & Tompkins, JR., “ Fundamentals of Special Education ”, 1999.
Lokman Mohd Tahir & Nurul Qistin Mustafa. 2009. Pendidikan Teknik dan Vokasional untuk
Pelajar Berkeperluan Khas. Jurnal Pendidik dan Pendidikan, jil. 24, 73-87.
Liew Ping Yee & Manisah Mohd. Ali. 2008. Amalan Program Intervensi Awal Kanak-kanak
Autistik Mengikut Perspektif Ibu Bapa. Jurnal Pendidikan 33, 19-33.
Mohd Najib Ghafar & Sanisah Jahaya. 2006. Bias Pengajaran Guru dalam Pelajaran Khas dan
Pelajaran Normal. Sabah: Annual Conference on Teacher Education.
Supiah Saad. 2010. Komitmen dan Peranan Guru dalam Pelaksanaan Pendekatan Pendidikan
Inklusif di Malaysia. Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Sabilah Binti Wahab. 2006. Persepsi Pelajar Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran
Terhadap Mata Pelajaran Kemahiran Hidup di Tiga Buah Sekolah di Daerah Johor
Baru. Sekudai: Universiti Teknologi Malaysia.
No comments:
Post a Comment