Sunday, 12 June 2016
Teknologi Pendidikan
Muka surat
1.0 PENGENALAN 1
2.0 PERANAN TEKNOLOGI INSTRUKSIONAL 2
3.0 PERHUBUNGAN TEKNOLOGI INSTRUKSIONAL DAN PRINSIP-PRINSIP UTAMA PEMBELAJARAN 4
4.0 TEORI DAN AMALAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN 7
RUMUSAN 11
BIBLIOGRAFI 12
1.0 PENGENALAN
Teknologi pendidikan memainkan peranan penting dalam suatu proses pengajaran. Hal ini kerana ia meliputi manusia, prosedur, idea, alat dan organisasi untuk membuat analisis masalah, merancang, melaksana, menilai dan seterusnya mengelola usaha pemecahan masalah yang berhubung kait dengan semua aspek pembelajaran. Teknologi instruksional pula merupakan suatu proses yang serupa seperti teknologi pendidikan yang mempunyai tujuan dan terkawal. Teknologi instruksional memberi tumpuan bagaimana cara hendak mengajar dan bukannya apa yang hendak dipelajari (Snelbecker, 1974). Selain itu, teknologi instruksional mencari cara terbaik untuk menyampaikan kandungan kurikulum kepada pelajar termasuklah strategi, kaedah dan jenis teknologi yang sesuai untuk memudahkan pelajar menguasai kandungan pengajaran yang di sampaikan di dalam bilik darjah.
Teknologi instruksional adalah aplikasi bersistem dan strategi yang sistematik. Ia merupakan aplikasi teori yang sistematik mengikut keperluan dalam reka bentuk instruksional dan pembangunan (Yunus, n.d.). Finn dalam Nik Najibah (2012) menyatakan teknologi intruksional hendaklah dilihat sebagai salah satu cara untuk melihat masalah pengajaran dan meneliti penyelesaian yang mungkin pada masalah tersebut. Menurut Seels & Richey (1994) pula, teknologi instruksional membawa maksud teori dan amalan tentang reka bentuk, pembangunan, penggunaan, pengurusan dan penilaian terhadap proses dan sumber pembelajaran. Davi dalam Nik Najibah (2012) mendefinisikan teknologi instruksional sebagai reka bentuk dan penggunaan mesej yang mengawal proses pembelajaran. Ia menunjukkan reka bentuk perancangan yang sistematik, pengeluaran, pemilihan, penggunaan dan pengurusan.
Berdasarkan keterangan di atas, teknologi intruksional dilihat sebagai satu proses sistematik yang melibatkan amalan reka bentuk pengajaran yang bertujuan untuk memudahkan pada pelajar memahami penyampaian pengajaran dalam sesi pembelajaran. Teknologi instruksional bukan hanya terhad pada pengajaran semata-mata, namun ia meliputi segala aspek yang melihatkan teori, reka bentuk pengajaran, pembangunan, penggunaan dan penilaian yang dijalankan semasa proses pengajaran berlaku.
Seels dan Richey (1994) membahagikan teknologi instruksional kepada lima domain utama. Lima domain utama tersebut ialah domain reka bentuk, domain pengembangan, domain penggunaan, domain pengurusan dan domain penilaian. Kesemua domain ini merupakan asas dan struktur kepada bidang teknologi instruksional. Teori ini merangkumi idea, konsep, konstruk, prinsip dan saranan yang menyumbang kepada pembinaan kerangka pengetahuan (Yusup, 2006). Amalan pula mengandungi aplikasi pengetahuan, kemahiran dan pengalaman untuk menyelesaikan masalah instruksional dan pembelajaran.
2.0 PERANAN TEKNOLOGI INSTRUKSIONAL
Pengenalan teknologi dalam pendidikan telah banyak menunjukkan impak positif kepada para pelajar. Penggunaan teknologi pada masa kini menunjukkan peningkatan pembelajaran dalam institusi pendidikan. Seiring dengan kemajuan dan kemahuan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KSSR), penggunaan teknologi dalam pengajaran sangat bersesuaian dan efektif dalam menyampaikan pengajaran. Ramsden dalam Adibah (2012) menyatakan bahawa belajar atau pembelajaran di sekolah seharusnya merupakan satu pergerakan ke arah pembentukan insan yang berupaya menyelesaikan persoalan yang kompleks, mengiktiraf kuasa dan keelokan konsep-konsep sesuatu bidang pelajar dan menggunakan ilmu yang dipelajari di dalam kelas dan menyelesaikan masalah di luar kelas.
Teknologi instruksional dilihat mampu memberikan alternatif yang lebih mudah kepada penyampaian guru di dalam mahupun di luar bilik darjah. Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) misalnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan hasil pembelajaran. Seorang pendidik boleh membuat persediaan lebih awal sebelum menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran. Maklumat berkaitan pengajaran lebih mudah diakses melalui Internet dan guru mampu mendapatkan input yang lebih baik kepada pelajar. Penggunaan alat ICT seperti powerpoint, bahan interaktif, bahan multimedia dan animasi pastinya mampu menarik perhatian dan berkesan semasa penyampaian di bilik darjah. Kaedah yang digunakan ini dapat dijalankan dengan lebih mudah, ringkas serta padat dengan maklumat. Hal ini kerana melalui ICT, pelajar akan didedahkan dengan persembahan grafik mahupun video yang mudah difahami dan menarik. Penggunaan ICT merangsang pelajar untuk belajar dengan bimbingan yang minimum daripada guru. Oleh itu, para pelajar tidak mudah jemu dan memberi tumpuan ketika pengajaran berlangsung lantaran tertarik dengan gaya persembahan yang ditunjukkan melalui ICT.
Selain itu, penggunaan ICT menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih aktif serta mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Guru boleh membina suasana pembelajaran yang seronok, mencabar dan berbentuk penerokaan. Melalui teknologi yang digunakan dalam pengajaran, pelajar boleh belajar secara berkesan dan boleh mengumpul maklumat yang mungkin sukar diperoleh dalam keadaan biasa daripada pelbagai laman pembelajaran. Guru boleh menerangkan kepada pelajar dengan lebih terperinci dan mendalam mengenai sesuatu subjek atau tajuk yang diajar. Misalnya, penggunaan Internet sebagai alat untuk mencari maklumat terkini berkaitan dunia pendidikan. Kemahiran melayari Internet yang ada pada pelajar membolehkan pelajar mendapatkan maklumat dan pengetahuan berkaitan aktiviti pembelajaran secara cepat dan efisien. Cara ini dapat meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan kerana segala maklumat yang diperlukan dapat diakses secara terus tidak kira di dalam bilik darjah mahupun di rumah.
Teknologi intruksional melalui penggunaan ICT juga berperanan membantu pelajar dalam proses penyelesaian masalah dan komunikasi dengan lebih cepat dan tepat. Guru dan pelajar juga dapat meningkatkan kemahiran teknologi sedia ada melalui pendedahan pelbagai alatan dan bahan ICT yang mempunyai pelbagai fungsi dan kegunaan tersendiri. Penguasaaan teknologi oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran memberikan nilai tambah kepada guru untuk mempraktikkannya ketika penyampaian ilmu di dalam kelas. Di samping itu, guru dapat menambahkan kualiti penyampaian dan menambahkan pengetahuan mengenai sistem ICT berdasarkan pengalaman yang berlangsung semasa interaksi bersama pelajar.
Aplikasi teknologi melalui penggunaan ICT sebenarnya mewujudkan peluang pembelajaran yang sama rata kepada semua pelajar yang mempunyai pelbagai kebolehan dan kecerdasan. Pengajaran di dalam sebuah kelas biasa mempunyai pelbagai kebolehan untuk menerima pengajaran yang disampaikan oleh guru. Justeru, penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran dilihat mampu mengatasi masalah pelajar tidak faham ilmu yang disampaikan. Pelajar pastinya lebih cenderung untuk mengetahui perkara yang dipelajari kerana ia menarik dan mudah difahami. Misalnya melalui penggunaan Frog VLE semasa pengajaran di dalam bilik darjah, pelajar akan meneroka pembelajarannya sendiri berdasarkan arahan yang diberikan oleh guru. Pembelajaran interaktif ini menyenangkan kerja guru dan memudahkan pemahaman pelajar. Melalui persembahan slaid Powerpoint, persembahan grafik mahupun tayangan video pendek di dalam laman pembelajaran mampu memberikan pemahaman maksimum kepada pelajar. Melalui cara ini, segala tanda tanya dan permasalahan yang timbul ketika sesi pengajaran dan pembelajaran dapat segera diselesaikan oleh pelajar mahupun guru dengan cara yang mudah. Pelajar boleh mengulang kaji pembelajaran pada hari tersebut di rumah dengan hanya mengakses laman pembelajaran yang dibekalkan di sekolah. Pelajar juga mudah mengakses nota dan bahan pembelajaran melalui Internet.
3.0 PERHUBUNGAN TEKNOLOGI INSTRUKSIONAL DAN PRINSIP-PRINSIP UTAMA PEMBELAJARAN
Menurut Kang (2015) yang menyatakan bahawa teknologi pembelajaran dibina berdasarkan atas prinsip-prinsip yang diambil daripada teori psikologi, terutamanya teori pembelajaran dan hasil-hasil penelitian dalam kegiatan pembelajaran. Proses pembelajaran merupakan perkara penting dalam mengimplementasikan kurikulum termasuklah prinsip-prinsip pembelajaran itu sendiri. Pembelajaran yang efektif dan efisien bergantung kepada teknologi pembelajaran yang ditekankan di dalam bilik darjah. Oleh yang demikian, seorang tenaga pendidik perlu mengetahui cara terbaik untuk memudahkan pembelajaran yang berkesan untuk mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran yang diinginkan melalui pemilihan pedagogi yang sesuai di dalam bilik darjah.
Salah satu prinsip pembelajaran ialah prinsip motivasi dan perhatian. Guru sebagai fasilitator di dalam bilik darjah memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru hendaklah menyediakan pelajar sebelum pengajaran berlangsung. Penggunaan teknologi instruksional menekankan reka bentuk dan strategi yang digunakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Semasa proses pengajaran berlangsung, guru hendaklah memastikan perhatian pelajar dititikberatkan kerana ia merupakan perkara penting dalam menggalakkan aktiviti pembelajaran berlaku. Menurut Anon (2014), motivasi mempunyai kaitan dengan kepentingan pelajar agar mereka mempunyai minat yang tinggi terhadap mata pelajaran tertentu dan boleh meningkatkan motivasi mereka untuk belajar. Penggunaan teknologi dalam bilik darjah pastinya menarik perhatian pelajar belajar seiring memotivasikan pelajar untuk terus mengikuti pengajaran guru. Misalnya penggunaan klip video pada awal set induksi akan membina naluri dan rasa ingin tahu pelajar pada langkah pengajaran seterusnya.
Selain daripada itu, prinsip kedua ialah aktif. Belajar merupakan suatu proses aktif yang dilakukan oleh seseorang untuk mengubah tingkah laku dan pemikiran menjadi lebih baik. Aplikasi teknologi instruksional hendaklah digunakan dalam pengajaran dengan melihat strategi dan kaedah yang sesuai dengan pemilihan tajuk dan aktiviti yang dirancang. Pengajaran yang berlangsung seharusnya aktif dan mempunyai komunikasi dua hala antara guru dengan pelajar mahupun pelajar dengan pelajar. Strategi pengajaran yang digunakan oleh guru hendaklah berpusatkan pelajar atau berpusatkan kepada bahan agar pembelajaran tidak menjadi bosan lantaran komunikasi sehala semata-mata. Guru harus lebih kreatif merancang aktiviti yang boleh menjana pemikiran pelajar dan memberi peluang kepada semua pelajar mengikuti pembelajaran. Misalnya aktiviti perbincangan dalam kumpulan berkaitan tajuk “Kesan Pencemaran Terhadap Manusia”. Aktiviti ini akan melibatkan semua pelajar dan pastinya komunikasi dua hala akan berlangsung kerana perkongsian, perbincangan dan pendapat yang berbeza daripada semua ahli kumpulan.
Prinsip seterusnya ialah penglibatan secara langsung. Prinsip ini jelas menekankan pengalaman pelajar secara langsung terlibat dalam aktiviti yang dilakukan di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Menurut Anon (2014), setiap individu mesti terlibat secara langsung untuk merasa atau mengalaminya. Bagi memberikan pengalaman baru kepada pelajar, aktiviti yang dilaksanakan oleh guru hendaklah melibatkan semua pelajar. Teknologi instruksional menekankan pengurusan bilik darjah yang baik oleh guru. Misalnya, dalam aktiviti berkumpulan menyusun perkataan menjadi ayat, setiap individu di dalam kumpulan hendaklah memberi pandangan dan pendapat tentang susunan perkataan tersebut. Faktor bilangan ahli kumpulan hendaklah dititikberatkan oleh guru. Jumlah yang terlalu ramai di dalam satu kumpulan akan mewujudkan pelajar yang diam dan tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti berkumpulan.
Seterusnya, prinsip pengulangan. Pembelajaran melibatkan prinsip pengulangan yang memerlukan pelajar mengulangi apa yang telah dipelajari sebelumnya. Pengalaman pembelajaran pelajar pada masa lalu akan diaplikasikan dalam pembelajaran akan datang. Pembelajaran yang mengalami proses pengulangan memudahkan pemahaman dan menguatkan daya ingatan pelajar. Misalnya, pembelajaran menggunakan komputer di dalam bilik darjah agak kekok bagi pelajar yang pertama kali menggunakannya. Namun, jika pembelajaran menggunakan komputer digunakan setiap minggu, pelajar akan tahu dan mahir mengendalikan komputer tanpa perlu bantuan dan bimbingan daripada guru. Tambahan itu, kemahiran yang diajar kepada pelajar hendaklah mengikut aras kebolehan pelajar agar pembelajaran yang diterima oleh pelajar menyeronokkan. Hal ini akan meningkatkan nisbah pengulangan pembelajaran pada masa hadapan.
Prinsip seterusnya ialah cabaran. Pelajar akan tertarik kepada pembelajaran yang berunsurkan cabaran. Menurut Anon (2014), bahan pembelajaran yang dilaksanakan hendaklah mencabar seperti soalan berkaitan masalah yang perlu diselesaikan agar para pelajar tercabar untuk terus mengkajinya. Aktiviti yang dirancang guru hendaklah sesuai dan seiring dengan kebolehan pelajar. Aktiviti penyelesaian masalah secara berkumpulan akan menjana pemikiran kritis dan mencabar kemahiran berfikir aras tinggi pelajar. Guru boleh menunjukkan video slaid nota kepada pelajar sebelum memberikan masalah kepada pelajar. Selain itu, guru juga boleh merancang aktiviti permainan berunsurkan pertandingan. Aktiviti seperti ini akan meningkatkan penglibatan pelajar semasa aktiviti berlangsung.
Tambahan itu, prinsip pengukuhan dan maklum balas hendaklah dipraktikkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Teknologi instruksional menekankan reka bentuk pengajaran yang dilaksanakan di dalam billik darjah. Keperluan untuk pembelajaran hendaklah dipenuhi untuk mencapai tujuan dan maksud belajar. Seorang pelajar akan lebih bersemangat untuk belajar jika mereka dipuji dan diberi penghargaan hasil daripada perkara baik yang dilakukannya. Hasil yang diperolehnya sangat memuaskan hingga ia boleh menjadi titik tolak yang mempengaruhi pembelajaran yang akan datang.
Prinsip terakhir ialah perbezaan individu. Guru perlu sedar akan hakikat bahawa proses pembelajaran setiap individu adalah berbeza, secara fizikal mahupun mental. Oleh itu, guru hendaklah bijak mengatur proses pembelajaran yang sesuai dengan tahap kebolehan pelajar. Guru perlu membantu pelajar untuk mengetahui serta memahami kelemahan dan kekuatan yang ada pada dirinya sendiri agar pelajar boleh membaiki kelemahannya sesuai dengan kebolehan yang ada pada dirinya. Bilik darjah lazimnya mempunyai tiga tahap kebolehan pelajar iaitu cepat, sederhana dan lambat. Guru boleh menggunakan kreativiti sendiri untuk menentukan aktiviti yang sesuai dilaksanakan bagi ketiga-tiga tahap kebolehan pelajar tersebut.
4.0 TEORI DAN AMALAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Menurut Seels & Richey (1994), teknologi instruksional terbahagi kepada lima domain iaitu reka bentuk, pembangunan, penggunaan, pengurusan dan penilaian. Pengajaran dan pembelajaran guru di dalam bilik darjah hendaklah mempraktikkan teknologi instruksional bagi memudahkan guru dan pelajar melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Penggunaan ICT pastinya menjadi pilihan bagi para pendidik untuk menyampaikan ilmu kepada para pelajar.
Domain reka bentuk merupakan proses untuk menentukan komponen sistem instruksional, ciri-ciri dan keperluan bagi proses pembelajaran. Terdapat empat bidang yang ada di dalam domain reka bentuk iaitu reka bentuk sistem instruksional, reka bentuk mesej, strategi instruksional dan ciri-ciri pelajar. Reka bentuk sistem instruksional merupakan sebuah tatacara yang tersusun dan sistematik untuk membuat analisis, mereka bentuk, membina, melaksana dan menilai satu unit pelajaran atau satu kurikulum agar dapat membantu atau menambahbaik pelajar belajar dan guru mengajar.
Misalnya dalam bahan pengajaran yang dihasilkan oleh Habibah Lateh dan Arumugam Raman yang mengkaji tentang bahan “Web-based Map Reading in Geography”. Kajian yang dilaksanakan ini bertujuan untuk mengkaji penggunaan peta interaktif dalam meningkatkan pencapaian pelajar dari segi membaca peta, mentafsir peta serta memahami geografi berbanding menggunakan peta statik. Terdapat dua kumpulan yang dibentuk iaitu kumpulan eksperimen yang menggunakan peta interaktif dan kumpulan kawalan yang menggunakan peta statik dalam mempelajari kemahiran membaca peta. Menurut Habibah dan Arumugam (2005), peta interaktif ini mampu memfokuskan kawasan yang dikehendaki, mengubah hamparan peta secara topografi, tumbuh-tumbuhan, sempadan dan boleh mencetak peta. Dapatan kajian mendapati kumpulan eksperimen yang menggunakan peta interaktif boleh menguasai latihan berbentuk animasi berbanding kumpulan kawalan yang hanya menggunakan peta statik.
Bidang kedua dalam domain reka bentuk ialah reka bentuk mesej yang melibatkan perancangan untuk menentukan cara dan format media paling berkesan untuk menyampaikan mesej kepada pelajar. Mesej atau pengajaran yang ingin disampaikan oleh guru di dalam bilik darjah hendaklah dirancang lebih awal agar proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar. Guru seharusnya memilih cara yang paling mudah dan berkesan kepada pelajar. Misalnya guru menunjukkan klip video tentang “Kelapa” dalam tajuk pengajaran “Kegunaan Kelapa”. Klip video tersebut mengandungi pelbagai input yang boleh memberi gambaran kepada pelajar tentang kegunaan kelapa.
Bidang ketiga dalam domain reka bentuk ialah reka bentuk strategi instruksional yang melibatkan proses memilih dan menyusun aktiviti pembelajaran dalam sesuatu unit pelajaran seperti urutan, kandungan, domain pembelajaran, kaedah dan media yang paling sesuai untuk mengukuhkan proses pembelajaran. Misalnya dalam satu proses pengajaran dan pembelajaran, guru akan bermula dengan set induksi, diikuti oleh langkah-langkah pengajaran dan akhirnya penutup. Dalam set induksi, guru menunjukkan klip video. Kemudian, dalam langkah-langkah pengajaran pula guru akan menyusun aktiviti daripada aktiviti berkumpulan kepada aktiviti individu.
Bidang terakhir dalam domain reka bentuk ialah menganalisis ciri-ciri pelajar seperti menentukan kemahiran, pengetahuan pelajar serta sikap sedia ada yang memberi kesan terhadap proses pembelajaran. Sebelum memulakan pengajaran, guru seharusnya berkenalan dan peka dengan ciri-ciri pelajar yang ada di dalam bilik darjah. Guru perlu mengenal pasti pelbagai aras kebolehan dan pengetahuan sedia ada murid. Latar belakang pelajar perlu diketahui guru agar pengajaran guru akan menjadi lebih mudah dan menarik.
Domain kedua dalam teknologi instruksional ialah domain pengembangan atau domain pembinaan yang melibatkan proses menterjemah spesifikasi reka bentuk bagi menghasilkan bahan instruksional. Bahan instruksional terdiri daripada bahan bercetak, alat pandang dan dengar, bahan berasaskan komputer dan bahan multimedia. Domain ini menekankan pembinaan bahan untuk mengembangkan potensi dan pengetahuan pelajar. Guru perlu membina bahan bantu untuk memudahkan pengajaran. Misalnya, guru membina sebuah klip video berkaitan kelapa. Guru perlu mencari bahan dan maklumat berkaitan kelapa dan dimasukkan di dalam klip video “Kelapa”. Walau bagaimanapun, bahan-bahan dan maklumat pengajaran boleh dicari dalam laman-laman web pembelajaran untuk memudahkan guru. Guru boleh mendapatkan klip video pembelajaran di Youtube ataupun mendapatkan audio dari laman web yang menyediakan audio yang diperlukan. Tambahan itu, guru juga boleh menyediakan bahan interaktif yang mengandungi nota, pembelajaran pada hari itu dan juga soalan atau kuiz.
Seterusnya, domain ketiga teknologi instruksional ialah domain penggunaan. Domain ini adalah tindakan menggunakan kaedah dan model instruksional, bahan dan perkakasan media dan persekitaran di dalam proses pengajaran untuk meningkatkan suasana pembelajaran. Setelah guru menyediakan bahan pengajaran klip video “Kelapa”, guru akan menggunakan bahan tersebut di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan bahan adalah bergantung kepada pilihan dan kreativiti guru. Misalnya, guru boleh memancarkan klip video kepada kelas dan klip video tersebut akan ditonton oleh pelajar. Guru juga boleh menggunakan cara lain seperti membina laman pembelajaran di dalam Frog VLE dan setiap pelajar akan mengakses laman tersebut pada skrin komputer mereka. Penggunaan Frog VLE dlihat lebih mudah dan ringkas jika dibandingkan dengan kaedah tradisional kerana dengan adanya laman interaktif ini, guru hanya perlu memberikan arahan ringkas dan pelajar hanya perlu melaksanakan arahan yang diberi. Guru akan memberikan bimbingan minimum dan sekadar menjadi fasilitator di dalam bilik darjah, manakala pelajar pula akan melakukan segala aktiviti pembelajaran.
Domain keempat teknologi instruksional ialah domain pengurusan. Domain ini melibatkan kawalan ke atas teknologi instruksional menerusi perancangan, penyusunan, penyelarasan dan penyeliaan teknologi pendidikan untuk membolehkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berjalan secara sistematik dan berkesan. Pengurusan bilik darjah perlu ditekankan oleh guru semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Kawalan kelas semasa aktiviti dijalankan tidak boleh dipandang enteng. Misalnya, penggunaan komputer untuk sesi pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan Frog VLE akan menimbulkan rasa teruja pelajar. Hal ini pastinya menyebabkan kelas berada dalam keadaan bising dan kurang terkawal. Guru perlu memainkan peranan dan mengembalikan keadaan yang terkawal dan tenang.
Domain kelima dalam teknologi instruksional ialah domain penilaian. Domain penilaian merupakan proses untuk menentukan kesesuaian dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran atau program pendidikan yang telah dijalankan. Misalnya seperti penilaian pencapaian pelajar, penilaian penggunaan media, penilaian reka bentuk dan pembinaan bahan pengajaran serta penilaian program atau projek media pendidikan. Terdapat empat kategori dalam domain penilaian iaitu penilaian analisis masalah pengajaran, penilaian kriteria, penilaian formatif dan penilaian sumatif. Penilaian analisis masalah pengajaran dilihat melalui refleksi guru terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah berlangsung pada hari tersebut. Penilaian formatif dan sumatif lazimnya diberikan kepada pelajar. Pada akhir aktiviti pengajaran, pelajar akan menjawab soalan berbentuk penilaian formatif untuk menilai pemahaman pelajar terhadap pembelajaran pada hari tersebut.
RUMUSAN
Teknologi instruksional merupakan satu proses sistematik yang melibatkan amalan reka bentuk pengajaran yang bertujuan untuk memudahkan para pelajar memahami penyampaian pengajaran dalam sesi pembelajaran. Teknologi instruksional tidak terhad pada pengajaran semata-mata, tetapi meliputi aspek yang menunjukkan teori, reka bentuk pengajaran, pembangunan, penggunaan dan penilaian yang dijalankan semasa proses pengajaran berlaku.
Penggunaan teknologi dalam pengajaran sangat bersesuaian dan efektif dalam menyampaikan pengajaran. Penggunaan ICT dalam bilik darjah dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan hasil pembelajaran. Selain bilik darjah, pembelajaran boleh berlaku di rumah.
Penggunaan ICT menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih aktif serta mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Pelajar boleh belajar secara berkesan dan boleh mengumpul maklumat yang mungkin sukar diperoleh dalam keadaan biasa daripada pelbagai laman pembelajaran. Tambahan itu, pengajaran menggunakan ICT boleh mewujudkan peluang pembelajaran yang sama rata kepada semua murid yang mempunyai pelbagai kebolehan dan kecerdasan.
Di samping itu, teknologi pengajaran bukan sahaja memberi tumpuan kepada penggunaan alat pandang dengar sahaja tetapi meliputi proses reka bentuk pengajaran dan bukan pengajaran bagi meninggikan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran di samping prestasi di tempat kerja guru.
BIBLIOGRAFI
Adibah Ishak. (2012). Prinsip Teknologi Pengajaran. http://www.slideshare.net/adibahishak123/prinsip-teknologi-pengajaran. Diakses pada 23 Mac 2016.
Anon. (2014). Prinsip-prinsip pembelajaran. http://www.informasi-pendidikan.com/2014/01/prinsip-prinsip-pembelajaran.html. Diakses pada 23 Mac 2016.
Emran Yunus. (n.d.). Teori dan Reka Bentuk Instruksional. https://www.academia.edu/4381882/TEORI_DAN_REKABENTUK_INSTRUKSIONAL. Diakses pada 23 Mac 2016.
Habibah Hj. Lateh., & Arumugam Raman. (2005). Web-Based Map Reading in Geography. http://pppjj.usm.my/mojit/articles/pdf/Dec05/12-A_STUDY_ON_THE_USE_OF_INTERACTIVE_WEB_BASED_1-final.pdf. Diakses pada 23 Mac 2016.
Kang Hiz. (2015). Pengertian dan Prinsip Pembelajaran. http://kafeilmu.com/pengertian-dan-prinsip-pembelajaran/. Diakses pada 23 Mac 2015.
Nik Najibah. (2012). Definisi Teknologi Instruksional. http://www.scribd.com/doc/114599610/Definisi-Teknologi-Instruksional#scribd. Diakses pada 23 Mac 2016.
Seels B. dan Richey R. (1994). Instructional Technology: The definition and domains of the field. Washington DC: Association for Educational Communications and Technology.
Snelbecker, G. (1974). Learning theory, instructional theory and psychoeducational design. New York: Mc Graw Hill.
Yusup Hashim. (2006). Penggunaan Teknologi Instruksional. http://yusuphashim.blogspot.my/2006/12/penggunaan-teknologi-instruksional.html. Diakses pada 23 Mac 2016.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment